Orthodok dan Modernisasi (Ortodoks dan Pemodenan)

ORTHODOK yang biasa diertikan KOLOT atau KAUM TUA belum tentu dapat dikatakan memberikan nilai yang kurang baik bagi seseorang yang mendasarkan pendirian berpokok kepada Al-Quran dan Hadis.

Kalau kita hendak menegakkan Islam, kita harus berpendirian ORTHODOK.

Orthodok Sejati 

Erti ORTHODOK ialah asli, murni, original, belum berubah, belum bertukar!

Di dalam bahasa Arab ORTHODOK itu disebut juga SALAF. Ertinya pendirian yang diterima dari pokok pangkal pendirian yang mula-mula.

Setiap orang yang menganjurkan supaya kembali kepada Al-Quran dan hadis itulah kaum ORTHODOK yang sebenarnya.

Pendirian ORTHODOK wajib dipertahankan, kalau agama masih tetap hendak didirikan Al-Quran adalah sumber ORTHODOKXISMA Islam yang pertama, dan sunnah Nabi iaitu aqwal (kata) dan af’al (perbuatan) dan taqrir (perbuatan sahabat-sahabat Nabi yang tidak beliau bantah) itulah sumber orthodok, dan kesanalah kita harus kembali.

Terutama di dalam hal pokok kepercayaan (akidah) kepada Allah, wajiblah kita  memakai faham orthodok. Kita menerima keseluruhannya tentang sifat-sifat Tuhan yang tertentu di dalam Al-Quran. Misalnya firman Allah “Yadullahi fauqa aidihim” (tangan Allah di atas tangan mereka). Faham orthodok ialah bahawa ayat itu diterima bulat sebagaimana diwahyukan kepada Muhammad SAW.

Tidak ditakwilkan sehingga diertikan bahawa tangan di situ ertinya ialah kekuasaan.

Dan tidak ditasybihkan ertinya diserupakan Tuhan dengan yang baru, mempunyai tangan dan mata. Dan tidak pula menjadi mudjassamah, berpendapat bahawa Allah bertubuh!

Dalam ibadat kita tetap orthodok. Baru ibadat kita sah dan diterima Tuhan. Solat zuhur tidak kita kurangi atau kita tambahi dari empat rakaat. Subuh dua rakaat, maghrib tiga rakaat dan seterusnya. Ketika mengerjakan haji kita tawaf keliling kaabah, kita wukuf, kita melontar jumrah dan sebagainya, sama seperti yang dilakukan Nabi SAW. Dan lafaz azan tidak kita tukar dari bahasa Arab kepada yang lainya.

Itu semua adalah orthodok sejati.

Dalam hal ini kita tidak mahu MODERNISASI. Sebab kalau pokok yang dari Nabi SAW itu kita ubah, modernisasi akan berubah menjadi bid’ah! Sebab Nabi Muhammad lebih pintar dari kita.

Modernisasi

Jika demikian, apakah yang dimaksudkan dengan MODERNISASI dan REFORMIS dalam Islam?

Fikiran kita terhadap agama, itulah yang harus dipermodern dan direformis! Bukan agama itu sendiri!

Fikiran yang modern yang menimbulkan reformasi dalam tentang tauhid. Pegang teguh kepercayaan itu, kemudian hadapilah dunia dan jawablah segala tentangan zaman.

Di sinilah letaknya modernisasi.

Maka tidaklah ada modernisasi pada ‘katak bawah tempurung’. Bertambah kita menuntut ilmu banyak-banyak dalam dunia yang berubah cepat ini, kerana perubahan cara berfikir, bertambah pula kita insaf, bahawa yang kita ketahui masih sangat sedikit.

Modernisasi Fikiran

Kita kemukakan disini berapa perumpamaan tentang modernisasi fikiran:

Hanotaux

Seorang ahli siasat Perancis pernah menyerang Islam kerana terpengaruh oleh keadaan yang dilihatnya di Afrika Utara.

Tidak ada ulamak Islam ketika itu yang sanggup memberi keterangan yang sanggup mengalahkan Hanotaux secara ilmiah. Maka tampillah Syeikh Muhammad Abduh memberikan penjelasan dan kupasannya, sehingga akhirnya Hanotaux sendiri berubah pendirian, kerana mendapat keterangan yang dianggapnya benar dan menurut logika.

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani

Pun pernah berhadapan dengan ahli fikir Perancis yang ulung Ernest Renan yang terkenal kerana rasentheorinya itu. Maka timbullah pertukaran fikiran antaranya dengan Sayyid Jamaluddin. Akhirnya Renan terpaksa mengaku: “Seakan-akan saya berhadapan dengan Ibnu Rusd”.

Isaac Taylor

Seorang pendeta Inggeris pernah mengirim surat kepada Syeikh Muhammad Abduh, menyatakan kesediannya menjadi seorang Muslim dan menyiarkan Islam di kalangan orang Kristian, demi setelah membaca buah fikiran Muhammad Abduh. Tetapi kerana pertimbangan politik menyebabkan kerajaan penjajah campur tangan. Dan niat Isaac Taylor tidak tercapai.

Agama tidak mungkin kalau cara berfikir itu sempit. Dengan menambah ilmu pengetahuan, memperluas pandangan terhadap soal hidup itulah yang akan dapat melapangkan fikiran yang sempit dan memelihara keORTHODOKan agama.

Dan “KHUZU ’ANNI MANASIKAKUM” (Daripadakulah ambil contoh pekerjaan hajimu).

Disamping soal peribadatan ada lagi soal yang dinamai soal duniyawiyah, soal-soal keduniaan. Termasuk soal kemasyarakatan, politik, ekonomi, imu perang, pengetahuan modern, sosiologi dan yang lain. Terhadap soal ini Nabi Muhammad menganjurkan supaya aktif.

Pergunakanlah akal, pergunakanlah ijtihad, bahkan imbangilah perkembagan yang telah dicapai oleh perikemanusiaan di dalam dunia yang senantiasa maju kedepan bukan mundur kebelakang. Turutlah mengisinya, turutlah menjadi subjek jangan hanya menjadi objek.

Pokok asal pendirian kita ialah kepercayaan yang sangat-sangat orthodok, iaitu orthodoknya Nabi Muhammad.

Iqbal pernah menyatakan “persiapkanlah dirimu hai pemuda Islam, kerana sudah ada tanda-tanda bahawa pimpinan dunia akan kembali kedalam tanganmu”.

Inilah yang dimaksudkan dengan modernisasi dan reformis Islam. Iaitu kebebasan berfikir dan keluasan ilmu sehingga dapat turut menentukan nasib dunia ini.


Penulis Asal: HAMKA

Diterbit Oleh Institut KTF pada 1985 di dalam Risalah As-Sunnah Bil.44

Disalin Semula Oleh Nabilaa Mohamed pada 27/07/2020 6:18pm

dengan Kebenaran Siti Hajar (Seha) Hashim


Rujukan

1.       Gambar Utama diambil pada 27/07/2020 di https://unsplash.com/photos/irA2xa68xNA


Pelajaran Tauhid: Pelajaran Ke-30

Rukun iman yang keempat yang kita bincangkan pada pelajaran yang lalu ialah beriman kepada rasul-rasul Allah alaihimus Salatu Wassalam dan bagi kita mempunyai kewajipan terhadap para rasul itu dan perlu mengetahui apakah yang harus berlaku pada mereka.

36. Kewajipan Kita

Apakah kewajipan kita terhadap para rasul yang diutus Allah ke muka bumi ini?

Jawapannya ialah, bahawa wajiblah kita membenarkan mereka iaitu para rasul itu adalah menyampaikan semua yang ditugaskan kepada mereka, apa-apa yang diperintahkan Allah, dan mereka adalah menjelaskan perintah Allah itu dengan seterang-terangnya sehingga tidak ada seorang pun antara mereka yang tidak diketahui dan tidak halal untuk menyalahinya.

Firman Allah SWT:

Dan barangsiapa mentaati rasul, maka sesungguhnya ia telah mentaati Allah”. - (Surah An-Nisaa’)

 Oleh itu kita wajiblah mempercayai bahawa mereka adalah terpelihara (maksum) dari melakukan dusta, kianat dan menyembunyikan dan para rasul itu terpelihara dari melakukan dosa-dosa besar, adapun kesalahan-kesalahan kecil memang ada berlaku pada mereka, ini diterangkan oleh al-kitab dan sunnah, tetapi tidak ditetapkan kepada mereka malah mereka diberi taufik untuk bertaubat.

Dan wajiblah memuliakan para rasul itu dan tidak membezakan-bezakan antara mereka dan wajib kita menerima pimpinan mereka dan menerima dengan patuh segala perintah mereka serta memberhentikan semua larangan mereka.

Dan wajib kita mengiktikadkan bahawa para rasul itu mempunyai ilmu yang sempurna diantara makhluk ini, mereka mempunyai amalan yang sempurna, yang paling besar, paling berbakti dan paling sempurna akhlaknya, dan mengiktikadkan bahawa mereka diberikan kelebihan yang istimewa yang tidak ada pada lainnya, mereka terbebas dari perangai yang buruk.

Dan wajiblah mencintai para rasul itu dan membesarkannya, tetapi dilarang mendewakan mereka dengan kelebihan dengan meninggikan mereka lebih dari darjat sebagai rasul utusan Allah SAW.

 

Bersambung…

Penulis Asal: Hashim A Ghani

Diterbit Oleh Institut KTF pada 1985 di dalam Risalah As-Sunnah Bil.44

Disalin Semula Oleh Nabilaa Mohamed pada 27/07/2020 4:12pm

dengan Kebenaran Siti Hajar (Seha) Hashim

 

Rujukan

1.       Gambar Utama diambil pada 27/07/2020 di https://unsplash.com/photos/nTE88akjSos


Cara Mengekalkan Hidayah dan Hidayah Itu Terbahagi Kepada 4 Tahap

Berdasarkan buku Ibnu Qayyim al-Jauziyah (691-751H), beliau telah menjelaskan hidayah itu ada empat tahap yang telah dihuraikan sebelum ini di dalam kitab al-Quran, iaitu:

Tahap 1

Hidayah umum. Ia merupakan petunjuk yang diberikan kepada semua makhluk yang bernyawa sama ada manusia mahupun binatang. Inilah yang dijelaskan oleh ALLAH dalam al-Quran:

Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, Yang menciptakan, lalu menyempurnakan (penciptaanNYA). – Surah Al-A’la, ayat 1-3

Firaun berkata: “Maka siapakah Tuhanmu berdua, wahai Musa?”. Musa berkata: “Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk”. – Surah Taha, ayat 49-50

Tahap 2

Hidayah ini ALLAH swt tegakkan ke atas hamba-hambaNYA yang berakal.

Dan adapun kaum Thamud, mereka telah KAMI beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai kebutaan (kesesatan) daripada petunjuk itu, maka mereka disambar petir sebagai azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan. – Surah Fussilat, ayat 17

Tahap 3

Hidayah (taufik dan ilham).

ALLAH menyeru (manusia) ke Daru al-Salam (syurga) dan menunjukkan orang yang dikehendakiYA kepada jalan yang lurus (Islam). – Surah Yunus, ayat 25

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi ALLAH memberi petunjuk kepada orang yang DIA kehendaki dan DIA lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk. – Surah Al-Qasas, ayat 56

Tahap 4

Hidayah atau petunjuk ini diakhirat kelak sama ada ke syurga atau ke neraka. ALLAH menggambarkan suasana yang dahsyat itu, firmanNYA:

(Diperintahkan kepada malaikat): “Kumpulkanlah orang-orang yang zalim berserta teman sejawat mereka dan apa yang dahulu mereka sembah selain ALLAH, lalu tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka”.  – Surah As-Saffat, ayat 22-23

Hidayah ke syurga berdasarkan ayat 43 Surah Al-A’raf:

Dan KAMI mencabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka, mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: “Segala puji bagi ALLAH yang telah menunjuki kami kepada (syurga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk sekiranya ALLAH tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami membawa kebenaran”. Dan diserukan kepada mereka: “Itulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan”.

Cara Mengekalkan Hidayah

1.       Tauhid yang betul

2.       Taat perintah, jauhi larangan

3.       Sentiasa kembali (Inabah)

4.       Berpegang teguh kepada tali ALLAH iaitu al-Quran dan As-Sunnah

Kesimpulan dari aku, daripada hasil penulisan ayah aku ni, timbul 4 persoalan kajian di masa hadapan iaitu 1) apakah yang dimaksudkan dengan tauhid yang betul tu?; 2) bagaimana cara untuk sentiasa mentaati perintah ALLAH dan menjauhi laranganNYA?; 3) apakah faktor yang menyebabkan manusia itu sedar untuk kembali? dan persoalan yang terakhir 4) bagaimana cara untuk memastikan jiwa dan ragaku berpegang teguh kepada tali ALLAH?

p.s. empat tahap hidayah ni ada nama di dalam bahasa Arab, aku tidak tahu membaca bahasa arab tanpa baris (nanti kalau aku jumpa ayah aku, aku akan update)

Penulis Asal: Mohamed A Rahman (n.d.)

Penyunting: Nabilaa Mohamed pada 4/6/2020 7:54 pm - 11:50 pm


Lampiran




 


Cara Membentuk Reka Bentuk Kajian (Research Design)


Dalam sub-bab reka bentuk kamu perlu menghuraikan kaedah keseluruhan yang telah kamu pilih secara ringkas untuk menyelesaikan masalah kajian kamu tu, merangkumi 5 topik penting:

 

1.      Jenis Kajian & Tujuan Kajian

2.      Isu Kajian & Persoalan Kajian

3.      Pemboleh Ubah & Hipotesis Kajian

4.      Pengumpulan Data & Pemprosesan Data

5.      Analisis Data & Laporan Dapatan

 

1.   Jenis Kajian & Tujuan Kajian

 

Jenis Kajian

Sebelum nak kaji sesuatu dan membentuk reka bentuk kajian, kamu kena tahu jenis kajian apa yang sesuai digunakan berdasarkan apa yang kamu nak kaji. Contoh, kamu nak kaji kehidupan seekor gajah, jenis kajian yang paling sesuai adalah menggunakan jenis kajian berbentuk siri masa (time series) atau ada juga orang panggil longitudinal.  Kenapa jenis kajian ni sesuai? Sebab kalau nak kaji kehidupan seekor gajah ia memerlukan masa yang sangat lama dan bertahap-tahap berbanding jenis kajian yang berbentuk keratan rentas (cross sectional) atau ada juga orang panggil correlational, masa kajian lebih singkat dan terhad.

Contoh, aku nak buat kajian mengenai tahap kecekapan perkhidmatan organisasi-organisasi kerajaan di UTC Kuala Lumpur dan masa diberikan cuma 2 tahun (pengajian master aku 2 tahun je) dan bidang aku nak kaji tu juga lebih sesuai guna keratan rentas berbanding siri masa.

Selain tu, jenis pendekatan kajian pun kena tahu, nak guna pendekatan kuatitatif ke atau kualitatif ke atau pendekatan gabungan.

Selanjutnya, klasifikasi kajian tu jenis yang macam mana pulak? Kamu pilih kajian asas (basic/fundamental research) atau kajian gunaan (applied research), jadi semua tu kamu kena tentukan dari awal-awal. Bagaimana nak tahu jenis kajian apa yang sesuai dengan tajuk kajian aku ni? Aku akan ceritakan dengan menyeluruh di artikel yang lain.

Tujuan Kajian

Kamu juga kena tahu apa tujuan kamu jalankan kajian tersebut, bertujuan untuk menyelesaikan masalah atau menambah ilmu pengetahuan? Selalunya pendekatan kuantitif akan digunakan untuk penyelesaian masalah dengan hasil kajian dipersembahkan dalam bentuk laporan deskritif berserta komponen-komponen statistik dan empirikal. Untuk menambah ilmu pengetahuan, selalunya pengkaji akan menggunakan pendekatan kualitatif dengan hasil kajian dipersembahkan dalam bentuk laporan penceritaan dan andaian.

 

2.   Isu Kajian & Persoalan Kajian (Research Question)

 

Kamu dapat mengenal pasti persoalan kajian kamu berdasarkan isu yang terjadi. Contoh,

Dari sini kamu akan kenal pasti pemboleh ubah penerang (sebab) dan pemboleh ubah yang diterangan (akibat). Lepas tu baru kamu akan dapat tentukan yang mana satu pemboleh ubah yang sesuai jadi pemboleh ubah bersandar (DV) atau pemboleh ubah bebas (IV).

Proses mengenal pasti sebab dan akibat dalam isu dan persoalan kajian sangat penting untuk membina hipotesis kajian. Hipotesis ni akan menjadi panduan kepada seorang pengkaji supaya dia mengkaji isu dan masalah tersebut di atas jalan yang betul dan berupaya memberi jalan penyelesaian bagi setiap persoalan kajian dia, kira dia menjawab soalan le. Jangan kaji tentang gajah tetapi hasil kajian tentang harimau. Tak selari dengan persoalan kajian. Jadi sebab tu kita buat rangka kajian (research framework) supaya tak nak jadi macam tu. Rangka kajian ni boleh dihuraikan dalam bentuk ayat berperenggan panjang lebar atau boleh juga digambarkan dalam bentuk gambar rajah seperti Rajah 2 di bawah.

 

3.   Pemboleh Ubah & Hipotesis Kajian

 

Pemboleh Ubah

Pemboleh ubah dan hipotesis kajian akan ditentukan semasa proses membina rangka kajian dan mesti selari dengan isu dan persoalan kajian kamu. Pemboleh ubah ada banyak jenis iaitu:

 

1) Bersandar – dependence variable (DV);

2) Bebas - independent variable (IV);

3) Pengantara – moderator;

4) Penggangu – mediator; dan

5) Luaran – extraneous


Contoh,

Hipotesis Kajian

Membina hipotesis. Contoh, merujuk kepada persoalan kajian nombor satu: Adakah kewujudan pemburu haram mempengaruhi bilangan gajah di Malaysia? Pengkaji memilih pendekatan quantitatif untuk menjawab persoalan ini lalu dia pun hasilkan hipotesis seperti:

 

Jadual 1

Membina Hipotesis

Persoalan Kajian 1

Hipotesis n:

Hipotesis a:

Adakah kewujudan pemburu haram mempengaruhi bilangan gajah di Malaysia?

Tiada hubungan antara kewujudan pemburu haram terhadap bilangan gajah di Malaysia

Wujud hubungan antara kewujudan pemburu haram terhadap bilangan gajah di Malaysia

 

Ada sebahagian pengkaji yang lepas kata kalau persoalan kajian tu guna pendekatan qualitatif tak wajib ada hipotesis.

 

4.   Pengumpulan Data & Pemprosesan Data

Tujuan pengumpulan data dan pemprosesan data adalah untuk mendapatkan dan merekodkan ciri-ciri sasaran kajian kamu.

 

Pengumpulan Data

Contoh, bagaimana cara nak masak sup daging yang sedap dan power? Kamu pun pergi le cari data untuk menjawab persoalan kamu tu. Tiba-tiba muncul pertanyaan baru, bagaimana nak dapatkan data cara masak sup daging tu? Jadi wujudlah pengumpulan data. Pengumpulan data dipengaruhi oleh sumber data dan jenis data (jenis data ada pelbagai, aku cerita 4 jenis je).

 

Jadual 2

Sumber Data

Sumber Data

Huraian

Premier (Data Pertama)

Premier ni maksudnya kamu pergi ke kedai sup daging tengok cara dia masak. Data yang kamu dapat tu adalah data asli. Kamu ke tempat berkaitan secara terus. Kamu temu bual secara bersemuka dengan abang hensem yang tengah masak sup daging kat kedai tu.

 

Sekunder (Data Kedua)

Sekunder bermaksud kamu pergi dapatkan data melalui youtube, google search ke atau kat media social yang lain, kiranya data tu diambil dari rekod orang lain. Tak asli le.

 

Jadual 3

Jenis Data

Jenis Data

Huraian

Siri Masa

data ni berturutan, kamu ambil data ni secara berkala, esok, lusa, tulat kamu selalu keluar pergi ambil data, jadi selalu pergi jumpa abang hensem le

Keratan Rentas

data ni mempunyai masa atau tahun yang sama, kamu ambil data contoh tahun 2015 je

Quantitatif

data ni banyak nombor, kalau nak masak sup daging data jenis ni tak sesuai

Qualitatif

data ni lebih kepada cerita dan andaian, data ni sesuai untuk tahu cara masak sup daging dengan menemubual abang hensem, abang hensem akan bercerita dan memberi andaiannya kepada kamu

 

Jadi untuk menjawab persoalan kedua kamu, bagaimana nak dapatkan data cara masak sup daging tu?

 

Jawapannya:

 

Kamu nak sup daging kamu sedap dan power jadi kamu pilih kedua-duan data, premier dan sekunder sebagai sumber data kamu, dan kamu juga nak guna data dari jenis siri masa dan data jenis qualitatif. Kamu pun keluar pergi jumpa abang hensem kat kedai sup daging untuk dapatkan data premier cara masak sup daging dengan menemubual abang hensem dan kamu juga tengok youtube video supaya semua data premier dan data sekunder tu dapat membuatkan sup daging kamu akan sedap dan power.

Mengetahui sumber data dan jenis data sangat penting kerana kedua-dua mempengaruhi cara bagaimana kamu pergi ambil data dan alat apa sesuai semasa ambil data. Contoh, kamu guna cara temu bual bersemuka dengan abang hensem kat kedai dia dan kamu menggunakan hanphone Samsung untuk merekod perbualan tersebut.

 

Pemprosesan Data

Bila semua data dah dapat, kamu kena proses data itu. Timbul soalan ketiga, bagaimana cara pemprosesan data?

Contoh, data yang kamu perolehi tu disimpan dalam bentuk video yang ada dalam handphone Samsung kamu. Kamu akan proses data tu melalui alat lain supaya data itu mudah dibaca dan kamu juga dapat kenal pasti data mana yang tak perlu digunakan untuk masak sup daging. Alat untuk proses data tu ada banyak, salah satunya kamu guna Microsoft Excel je, tak perlu guna software SPSS, Atlas.Ti atau Nvivo. Melalui Microsoft Excel tu dari data berbentuk video kamu tukarkan kepada data berbentuk grafik (gambar/ rajah/ bentuk pie ke). Data tu akan jadi lebih mudah untuk dibaca, lebih visual dan kalau budak-budak tengok pun diorang pun boleh masak sup daging juga.

 

5.   Analisis Data & Laporan Dapatan

Sekarang masa untuk menganalisis data dan buat laporan dapatan. Ada banyak kaedah untuk menganalisis data dan ada pelbagai format yang perlu diikuti untuk membuat laporan dapatan.

 

Analisis Data

Contoh, kamu ingin menganalisis data melalui Microsoft Excel dengan menggunakan kaedah Analisis Tematik, kerana data kamu tu kamu dah tetapkan dari awal akan guna pendekatan qualitatif jadi kaedah menganalisis data yang paling sesuai adalah Analisis Tematik. Bagaimana nak analisis data menggunakan kaedah Analsis Tematik? Cerita ni akan bersambung di artikel yang lain.

Contoh lain, melalui software SPSS untuk pendekatan kualitatif, dalam software ni ada banyak komponen statistik salah satunya adalah Analisis Pearson. Kamu pilih analisis ni untuk uji hubungan anatara dua pemboleh ubah, adakah penggunaan ajinomoto dalam masakan akan membuatkan sup daging menjadi sedap dan power? Kamu kena cerita secara menyeluruh hasil analisis tersebut.

 

Laporan Dapatan

Bila dah siap analisis data, hasil data pun menjadi sangat menarik dengan gambar rajah yang berwarna warni dan menjawab persoalan kajian kamu, sekaran masa untuk membuat laporan dapatan. Laporan ni penting kerana ia berfungsi sebagai bukti yang mengatakan cara masak sup daging inilah yang terbaik dan akan membuatkan sup daging itu sedap dan power. Jadi, masa nak buat laporan dapatan, ikut je format dari universiti kamu.

 

Kesimpulan

Inilah flow untuk membentuk reka bentuk kajian. Sub-bab reka bentuk kajian ni mesti ada semua lima perkara ni secara ringkas dan mesti dilanjutkan dalam bab utama metodologi dengan huraian yang lebih teliti.

 

Rujukan

1.      Fuad Mohamed Berawi (2018). Metodologi Penyelidikan Panduan Menulis Tesis. (Cetakan Ke-2., pp. 1-35 & 55-68). Sintok: Penerbit Utara Malaysia


Istilah 'GO AYAM' dalam Dunia Climbing di Malaysia

  GO AYAM merupakan satu konsep pemikiran yang dipratikkan oleh rock climber ketika memanjat sebuah batu (climbing route). Konsep pemikiran ...