Orthodok dan Modernisasi (Ortodoks dan Pemodenan)

ORTHODOK yang biasa diertikan KOLOT atau KAUM TUA belum tentu dapat dikatakan memberikan nilai yang kurang baik bagi seseorang yang mendasarkan pendirian berpokok kepada Al-Quran dan Hadis.

Kalau kita hendak menegakkan Islam, kita harus berpendirian ORTHODOK.

Orthodok Sejati 

Erti ORTHODOK ialah asli, murni, original, belum berubah, belum bertukar!

Di dalam bahasa Arab ORTHODOK itu disebut juga SALAF. Ertinya pendirian yang diterima dari pokok pangkal pendirian yang mula-mula.

Setiap orang yang menganjurkan supaya kembali kepada Al-Quran dan hadis itulah kaum ORTHODOK yang sebenarnya.

Pendirian ORTHODOK wajib dipertahankan, kalau agama masih tetap hendak didirikan Al-Quran adalah sumber ORTHODOKXISMA Islam yang pertama, dan sunnah Nabi iaitu aqwal (kata) dan af’al (perbuatan) dan taqrir (perbuatan sahabat-sahabat Nabi yang tidak beliau bantah) itulah sumber orthodok, dan kesanalah kita harus kembali.

Terutama di dalam hal pokok kepercayaan (akidah) kepada Allah, wajiblah kita  memakai faham orthodok. Kita menerima keseluruhannya tentang sifat-sifat Tuhan yang tertentu di dalam Al-Quran. Misalnya firman Allah “Yadullahi fauqa aidihim” (tangan Allah di atas tangan mereka). Faham orthodok ialah bahawa ayat itu diterima bulat sebagaimana diwahyukan kepada Muhammad SAW.

Tidak ditakwilkan sehingga diertikan bahawa tangan di situ ertinya ialah kekuasaan.

Dan tidak ditasybihkan ertinya diserupakan Tuhan dengan yang baru, mempunyai tangan dan mata. Dan tidak pula menjadi mudjassamah, berpendapat bahawa Allah bertubuh!

Dalam ibadat kita tetap orthodok. Baru ibadat kita sah dan diterima Tuhan. Solat zuhur tidak kita kurangi atau kita tambahi dari empat rakaat. Subuh dua rakaat, maghrib tiga rakaat dan seterusnya. Ketika mengerjakan haji kita tawaf keliling kaabah, kita wukuf, kita melontar jumrah dan sebagainya, sama seperti yang dilakukan Nabi SAW. Dan lafaz azan tidak kita tukar dari bahasa Arab kepada yang lainya.

Itu semua adalah orthodok sejati.

Dalam hal ini kita tidak mahu MODERNISASI. Sebab kalau pokok yang dari Nabi SAW itu kita ubah, modernisasi akan berubah menjadi bid’ah! Sebab Nabi Muhammad lebih pintar dari kita.

Modernisasi

Jika demikian, apakah yang dimaksudkan dengan MODERNISASI dan REFORMIS dalam Islam?

Fikiran kita terhadap agama, itulah yang harus dipermodern dan direformis! Bukan agama itu sendiri!

Fikiran yang modern yang menimbulkan reformasi dalam tentang tauhid. Pegang teguh kepercayaan itu, kemudian hadapilah dunia dan jawablah segala tentangan zaman.

Di sinilah letaknya modernisasi.

Maka tidaklah ada modernisasi pada ‘katak bawah tempurung’. Bertambah kita menuntut ilmu banyak-banyak dalam dunia yang berubah cepat ini, kerana perubahan cara berfikir, bertambah pula kita insaf, bahawa yang kita ketahui masih sangat sedikit.

Modernisasi Fikiran

Kita kemukakan disini berapa perumpamaan tentang modernisasi fikiran:

Hanotaux

Seorang ahli siasat Perancis pernah menyerang Islam kerana terpengaruh oleh keadaan yang dilihatnya di Afrika Utara.

Tidak ada ulamak Islam ketika itu yang sanggup memberi keterangan yang sanggup mengalahkan Hanotaux secara ilmiah. Maka tampillah Syeikh Muhammad Abduh memberikan penjelasan dan kupasannya, sehingga akhirnya Hanotaux sendiri berubah pendirian, kerana mendapat keterangan yang dianggapnya benar dan menurut logika.

Sayyid Jamaluddin Al-Afghani

Pun pernah berhadapan dengan ahli fikir Perancis yang ulung Ernest Renan yang terkenal kerana rasentheorinya itu. Maka timbullah pertukaran fikiran antaranya dengan Sayyid Jamaluddin. Akhirnya Renan terpaksa mengaku: “Seakan-akan saya berhadapan dengan Ibnu Rusd”.

Isaac Taylor

Seorang pendeta Inggeris pernah mengirim surat kepada Syeikh Muhammad Abduh, menyatakan kesediannya menjadi seorang Muslim dan menyiarkan Islam di kalangan orang Kristian, demi setelah membaca buah fikiran Muhammad Abduh. Tetapi kerana pertimbangan politik menyebabkan kerajaan penjajah campur tangan. Dan niat Isaac Taylor tidak tercapai.

Agama tidak mungkin kalau cara berfikir itu sempit. Dengan menambah ilmu pengetahuan, memperluas pandangan terhadap soal hidup itulah yang akan dapat melapangkan fikiran yang sempit dan memelihara keORTHODOKan agama.

Dan “KHUZU ’ANNI MANASIKAKUM” (Daripadakulah ambil contoh pekerjaan hajimu).

Disamping soal peribadatan ada lagi soal yang dinamai soal duniyawiyah, soal-soal keduniaan. Termasuk soal kemasyarakatan, politik, ekonomi, imu perang, pengetahuan modern, sosiologi dan yang lain. Terhadap soal ini Nabi Muhammad menganjurkan supaya aktif.

Pergunakanlah akal, pergunakanlah ijtihad, bahkan imbangilah perkembagan yang telah dicapai oleh perikemanusiaan di dalam dunia yang senantiasa maju kedepan bukan mundur kebelakang. Turutlah mengisinya, turutlah menjadi subjek jangan hanya menjadi objek.

Pokok asal pendirian kita ialah kepercayaan yang sangat-sangat orthodok, iaitu orthodoknya Nabi Muhammad.

Iqbal pernah menyatakan “persiapkanlah dirimu hai pemuda Islam, kerana sudah ada tanda-tanda bahawa pimpinan dunia akan kembali kedalam tanganmu”.

Inilah yang dimaksudkan dengan modernisasi dan reformis Islam. Iaitu kebebasan berfikir dan keluasan ilmu sehingga dapat turut menentukan nasib dunia ini.


Penulis Asal: HAMKA

Diterbit Oleh Institut KTF pada 1985 di dalam Risalah As-Sunnah Bil.44

Disalin Semula Oleh Nabilaa Mohamed pada 27/07/2020 6:18pm

dengan Kebenaran Siti Hajar (Seha) Hashim


Rujukan

1.       Gambar Utama diambil pada 27/07/2020 di https://unsplash.com/photos/irA2xa68xNA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Istilah 'GO AYAM' dalam Dunia Climbing di Malaysia

  GO AYAM merupakan satu konsep pemikiran yang dipratikkan oleh rock climber ketika memanjat sebuah batu (climbing route). Konsep pemikiran ...