Setiap manusia itu mempunyai tiga jenis hati secara rohani dan mempunyai satu hati secara jasmani. Kadang-kadang manusia itu hatinya sihat, kadang-kadang ada hari hatinya tiba-tiba mati dan juga kadang-kadang hatinya sering sakit.
Hati Sihat
Hati sihat itu ada kehidupan di dalamnya. Hati yang hidup. Hati sihat itu hidup kerana ia mencintai ALLAH dengan tulus ikhlas tanpa menduakanNYA. Ikhlas bermaksud beribadah kepada ALLAH semata-mata kerana ALLAH dan tidak mengangkat ciptaanNYA sama taraf denganNYA. Contoh, apabila seseorang itu lebih mengutamakan duit, menjadikan duit itu sebagai hidupnya, tanpa duit dia mati, solat lewat kerana duit, langsung tidak solat kerana duit atau mengeluarkan sedekah kerana mendapatkan nama dan bukan kerana ALLAH dan lain-lain. Perbuatan mengagungkan duit lebih daripada beribadat kepada ALLAH bererti dia itu telah menyamatarafkan kedudukan ALLAH sebagai pencipta dengan yang dicipta (duit). Ini kita panggil syirik kecil. Perbuatan sedekah kerana atas kepentingan peribadi pula bererti dia beribadat kepada ALLAH dengan tiada keikhlasan. Manusia yang punya hati sihat tidak akan ada penyakit ini di dalam hatinya. Setiap ibadah yang dia lakukan dan perbuatan yang dia lakukan adalah ikhlas semata-mata kerana ALLAH dan tiada unsur syirik, sama ada syirik besar (cth sembah berhala) atau syirik kecil.
Hati sihat juga bebas dari syubhat dan syahwat. Syubhat adalah merasa ragu-ragu dengan firman ALLAH dalam hukum, larangan, perintah dan lain-lain. Syahwat pula adalah perkara-perkara jahat, buruk, maksiat, sia-sia, haram dan seumpamanya yang dilarang dilakukan. Hati sihat punya rasa cinta, takut, harap, tawakal, inabah (menjauhi apa yang ALLAH benci kerana ALLAH), tunduk dan kehendak (keinginan memohon/meminta) hanya kepada ALLAH, mengutamakan reda ALLAH (apa yang ALLAH suka) dan kemurkaan ALLAH (menjauhi apa yang ALLAH benci) serta beramal dan beribadat selari dengan sunnah Rasul, kepatuhan dan pengambilan hukum berdasarkan sunnah Rasul, meneladani Rasul dari segi ucapan lisan, ucapan hati, perbuatan anggota badan termasuk akhlak (tingkah laku dan sikap), segala hal yang kecil dan besar termasuk dalam hukum-hakam dan lain-lain, hati sihat apabila ia patuh kepada ALLAH ia juga mesti patuh kepada Rasul-NYA. Apabila ia cintai kepada ALLAH, ia juga cinta kepada Rasul-NYA.
“Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.” – (Al-Quran, Al-Ahzab 33: 6)
Bermaksud selepas mencintai ALLAH dengan ikhlas lalu dia juga mesti mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi diri sendiri dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan.
Hati sihat apabila seseorang itu mencintai sesuatu, ia mencintai kerana ALLAH dan apabila ia membenci, ia membenci kerana ALLAH.
Hati Mati
Hati mati adalah apabila seseorang itu punya hati yang bertentangan dengan hati sihat. Tiada kehidupan untuk hati mati. Dia tidak mahu mengenal tuhannya apa lagi beribadah kepadaNYA. Dia beribadah kepada selain ALLAH. Apabila ia mencintai sesuatu, ia mencintai kerana nafsu, apabila ia membenci, ia membenci kerana nafsu, apabila ia memberi dan menolak, pemberiannya dan penolakanya juga kerana nafsu. Senang cerita, hati mati ni hawa nafsu dia nombor one, ALLAH dia tolak tepi, dia tak kisah sama ada ALLAH reda atau murka tak dengan perbuatannya atau tidak. Tiada pengagungan dan ketundukan kepada ALLAH apa lagi rasa cinta, takut, harap dan tawakal sama sekali tidak.
“Hawa nafsu adalah imamnya, syahwat adalah komandannya, kebodohan adalah pengendaliannya dan kelalaian adalah kenderaannya. Ia senantiasa sibuk berpikir untuk memperoleh ambisi-ambisi duniawi serta dimabuk oleh hawa nafsu dan cinta dunia. Bergaul dengan orang yang mati hatinya adalah penyakit dan racun. Bersahabat denganya adalah kebinasaan.” – (ditulis oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah ditahqiq oleh Khalid Abdul Lathif As-Saba’ Al-‘Alami)
“Hawa nafsu adalah imamnya, syahwat adalah komandannya, kebodohan adalah pengendaliannya dan kelalaian adalah kenderaannya. Ia senantiasa sibuk berpikir untuk memperoleh ambisi-ambisi duniawi serta dimabuk oleh hawa nafsu dan cinta dunia. Bergaul dengan orang yang mati hatinya adalah penyakit dan racun. Bersahabat denganya adalah kebinasaan.” – (ditulis oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah ditahqiq oleh Khalid Abdul Lathif As-Saba’ Al-‘Alami)
Hati Sakit
Hati sakit atau sakit hati? Di sini mengenai hati yang sakit bukan sakit hati. Seseorang yang mempunyai hati sakit bermaksud kadang-kadang dia mempunyai sedikit hati sihat dan tiba-tiba hati yang sihat jadi sedikit mati tapi belum mati. Hati sakit adalah diantara hati sihat dan hati mati. Kejap-kejap ok, kejap-kejap tak ok. Kejap on, kejap off. Keja ada, kejap hilang. Itulah namanya hati sakit. Beza hati sakit dan hati mati ialah hati sakit masih mempunyai kehidupan sedangkan hati mati tidak ada kehidupan langsung sama sekali dan hati sakit ini walaupun mempunyai kehidupan tetapi kehidupannya itu berpenyakit. Hati sakit masih mempunyai cinta, iman, ikhlas dan tawakal kepada ALLAH serta pada masa yang sama juga hati sakit mempunyai cinta dan keutamaan kepada hawa nafsu. Hatinya dipengaruhi oleh dua penyeru dalam satu diri. Sebelah sisi penyeru baik dan sebelah sisi lagi penyeru jahat. Jadinya hati sakit ini akan bertelingkah dengan kedua-dua penyeru ini. Jika hati sakit kalah kepada kepada penyeru jahat dia akan pergi melakukan kejahatan. Sebaliknya, jika hati sakit ini menang kepada penyeru baik dia akan pergi melakukan kebaikkan. Sepertinya kamu sedang berperang dengan diri sendiri. Hati sakit itu akan membuatkan kamu sangat rapuh apabila godaan kejahataan, keburukan, kemaksiatan atau perkara sia-sia mendatangi kamu, 99.9% nescaya kamu akan terjebak. Ada dua faktor penyebab hati sakit; 1) kerana hati itu kering, keras dan tidak dapat berfungsi dengan baik, dan 2) kerana hati itu ditimpa penyakit yang menghalanginya berfungsi dengan baik.
Ringkasnya:
1. Hati Yang Sihat:
Hati yang dapat menerima, mengutamakan dan mencintai kebenaran
2. Hati Yang Mati:
Hati yang tidak dapat menerima dan tidak patuh kepada kebenaran
3. Hati Yang Sakit:
Hati yang apabila penyakitnya lebih menguasai dirinya ia akan menjadi hati yang mati dan apabila kesihatan lebih menguasai dirinya ia akan menjadi hati yang sihat
Rujukan
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah ditahqiq oleh Khalid Abdul Lathif As-Saba’ Al-‘Alami di terjemah oleh Hawin Murtadho & Salafuddin Abu Sayyid. IGHATSATUL LAHFAN: Menyelamatkan Hati dari Tipu Daya Setan. Cetakan Ke-6, Edisi Lengkap (Februari 2014), Al-Qowam, Sanggrahan-Mantung Grogol Sukoharjo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan