Rahsia untuk Menjadi Baik


“PALINGKAN CINTA DARI YANG TIDAK BAIK KEPADA MENCINTAI PERKARA YANG BAIK-BAIK”.

Jantung hati manusia tidak boleh mendapat kebaikan kecuali ia sanggup berpaling dari perkara-perkara yang tidak baik kepada perkara-perkara yang lebih baik.

Jika tidak, jantung hatinya tidak boleh menjadi baik untuk selama-lamanya. Sekali pun yang hendak mengubati jantung hatinya seorang Rasul atau Nabi atau wali-wali Allah SWT. Selama jantung hati itu tidak mahu meninggalkan perkara-perkara yang tidak baik selama itulah ia tidak dapat menerima alasan-alasan yang dibawa oleh para Rasul dan Nabi-Nabi Allah SWT.

Itu terang-seterangnya mereka tetap akan berpaling dan terus berpaling dari ajaran-ajaran para Rasul dan Nabi-Nabi yang mengandungi nasihat-nasihat yang membawa kepada kebahagian di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT:

Adapun kaum Thamud, maka Kami beri petunjuk kepadanya, lalu mereka mengutamakan kesesatan dari hidayah petunjuk; mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan. - (Surah Al-Fussilat, 17)

Ayat ini jelas bagi kita, bahawa para pembesar atau pemimpin-pemimpin kaum Samud dan sebahagian besar kaumnya, mereka menolak ajakan Nabi Allah SWT Saleh a.s bukan kerana apa yang dianjurkan oleh Nabi Saleh itu tidak baik, tetapi disebabkan jantung hati-jantung hati mereka tidak dapat berpaling daripada mencintai yang tidak baik kepada mencintai hal-hal yang lebih baik.

Justeru itu bagaimana untuk mengatasi penyakit jantung hati sebelum lebih parah penderitaan dibelakang hari nanti?

Untuk mengatasinya tidak lain hanya dengan membawa jantung hati tersebut supaya mencintai yang baik atau kerana takut ada bahaya.

Firman Allah SWT:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. - (Surah Yusuf, 12: 24)

Maksunya, Allah SWT hendak memalingkan hamba-Nya ini dari perbuatan yang tidak baik, seperti cenderung kepada patung dan tertambat kepada patung (yang berbentuk manusia perempuan yang namanya Zulaikha). Ia palingkan juga dari perbuatan keji iaitu dengan mengikhlaskan dirinya kepada Allah SWT.

Oleh itu, sebelum ia merasakan manisnya ibadah dan ikhlas kepada Allah SWT, langkah pertama yang mesti dilakukan ialah memerangi pengaruh hawwa nafsu. Sebab apabila dia sudah dapat merasakan nikmat ikhlas itu dan jantung hatinya menjadi kuat, maka secara automatik hawwa nafsunya pun akan menghilang tanpa diubati.

Sebab itulah Allah SWT berfirman:

Bacalah kitab (Al-Quran) yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan laksanakan solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Ketahuilah! Mengingati Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya daripada ibadah lain) dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. - (Surah Al-Ankabut, 29: 45)

Dengan solat, seluruh yang tidak baik, iaitu: perbuatan keji dan mungkar dapat dihindarkan; dan yang dicintai, iaitu ingat kepada Allah SWT akan dapat dicapai.

Mendapatkan yang dicintai jauh lebih besar daripada sekadar menghindar yang tidak disukai. Sebab ingat kepada Allah SWT itu ialah ibadah kepada-Nya.

Sedangkan ibadah jantung hatinya kepada Allah SWT itulah yang dimaksud sebenarnya.

Adapun menghindarkan perbuatan keji membolehkan jantung hati mendapatkan banyak kebaikan.


Sebuah catatan oleh ayahku MOHAMED A RAHMAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Istilah 'GO AYAM' dalam Dunia Climbing di Malaysia

  GO AYAM merupakan satu konsep pemikiran yang dipratikkan oleh rock climber ketika memanjat sebuah batu (climbing route). Konsep pemikiran ...